Selasa, 13 Ogos 2013
Isnin, 12 Ogos 2013
Moto Dan Objektif
MOTO
Huffaz Bertaqwa Pemimpin Ummah
OBJEKTIF
1. Memenuhi perintah Allah SWT supaya menghambakan diri kepada-Nya.
2. Menyediakan sebuah institusi pengajian Tahfiz Al-Quran yang menitikberatkan
adab dan akhlak sebagai menyambung tugas Rasulullah SAW.
3. Membangunkan ummah yang mantap fizikal dan spritual serta berkemahiran dalam
pelbagai bidang.
Misi Dan Visi
VISI
MTQ-7 Peneraju Pendidikan Tahfiz Perak 2020
MISI
Menuju pentadbiran sekolah yang sistematik dan berdisiplin.
Melahirkan insan yang profesional dan berintegriti.
Membentuk sebuah institusi agama yang membimbing masyarakat.
Sejarah Sekolah
SEJARAH PENUBUHAN
Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat ADDIN-7 (MTQ7) adalah sebuah cawangan Maahad Tahfiz ADDIN yang bernaung dibawah Yayasan ADDIN dan Persatuan Ulama cawangan Perak.
Ditubuhkan pada awal 2008 di atas sebuah tanah wakaf seluas dua ekar oleh keluarga Tuan Haji Ngah Husin dan Puan Hajjah Aisyah Bin Haji Mohd Noor beralamat Lot 31385, Kg. Baru Gunung Genting, 31400 Tambun Ipoh, Perak Darul Ridzuan. Kedudukan MTQ7 sangat strategik kerana berada di pekan Ipoh dan hanya beberapa minit daripada lebuhraya Utara-Selatan (PLUS). Mempunyai suasana yang nyaman dan segar bersebelahan Gunung Genting.
Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat ADDIN-7 Tambun adalah sebuah Intitusi Pendidikan Islam swasta dan berasrama penuh yang berasaskan kebajikan dan memilih bidang tahfiz al-Quran sebagai subjek teras disamping mengadakan subjek-subjek pengajian Islam seperti Fiqh, Tauhid, Tafsir, Hadis dan lain-lain lagi. Subjek-subjek akademik asas seperti Matematik, Sains, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris turut disediakan.
Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat ADDIN-7 telah didaftarkan dan dikawal oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) di bawah seksyen 6(5) Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1996 dengan nombor pendaftaran JAIPk/TAHFIZ/IP.134/09.
Pada mulanya ia dikelolakan oleh Persatuan Ulama Malaysia cawangan Perak yang diketuai oleh Dato' Syeikh Mohamah Nor Bin Mansor Al-Hafiz. Kini MTQ7 dikendalikan di bawah naungan Yayasan ADDIN yang juga dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Dato' Syeikh Mohd Nor Bin Mansor Al-Hafiz.
Pada peringkat awal MTQ7 diuruskan oleh Pengerusi Jemaah Pembangunan Sekolah, Tuan Haji Hamdan Bin Mohd bersama beberapa orang sukarelawan dan pada waktu awal pembukaan MTQ7, sekolah ini telah menerima seramai 24 orang pelajar sahaja. Setelah hampir 5 tahun beroperasi (2008-2013) , MTQ7 kini telah berkembang maju bagi memenuhi permintaan masyarakat dan kini MTQ7 telah mempunyai seramai 65 orang pelajar. MTQ7 memiliki infrastruktur yang sederhana lengkap dengan bangunan asrama, kelas pengajian, surau, bangunan pejabat dan perpustakaan yang mampu menampung jumlah pelajar sebanyak 65-70 orang sahaja dan dikendalikan oleh 10 orang kakitangan.
Maahad ini hanya menjalankan Pengajaran dan Pembelajaran di peringkat Tingkatan 1,2, dan 3 sahaja dan mengikut kiraan semester. Di samping itu, Maahad mengadakan kelas akademik bagi memudahkan pelajar menduduki peperiksaan kerajaan.
Maahad kami sangat mengalukan dan menerima segala jenis bantuan termasuk infrastruktur bangunan, makanan, elektronik, alat-alat kelengkapan pejabat, kelas, asrama, surau dan sebagainya.
MTQ7 selaku cawangan menengah rendah Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat ADDIN (MTQ ADDIN) hanya menerima pelajar untuk 3 tahun pengajian sahaja. MTQ7 telah melahirkan ramai pelajar-pelajar yang berjaya untuk menyambung pelajaran ke cawangan menengah atas MTQ ADDIN yang kemudiannya menyambung pelajaran ke beberapa Universiti luar dan dalam negara.
Sumbangan
BANK ISLAM MA'AHAD TAHFIZ AL-QURAN WAL-QIRAAT ADDIN 7
NOMBOR AKAUN: 08-013-01-006234-5 (UNTUK YURAN)
MAYBANK MA'AHAD TAHFIZ AL-QURAN WAL-QIRAAT ADDIN 7
NOMBOR AKAUN: 5584-6200-2297 (UNTUK SUMBANGAN PEMBANGUNAN)
Rabu, 7 Ogos 2013
Perutusan Aidilfitri 1434 H
إِنَّ حَمْدًا لله نَحْمَدُهُ وَ نَسْتَعِينُه ونعوذُ
باللهِ مِنْ شُرُورِ مِنْ أَنْفُسِنَا وَ مِنْ سَيئَاتِ أَعْمَالِناَ مَنْ يَهْدِ
الله فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَ مَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ وَ أَشْهَدُ أَنْ
لَا إِلَهَ إِلاَّ الله وَ أَنَّ محمداً رَسُوْلُ الله. اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا
وَالْحَمْدُ للهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلاَ. لاَ اِلَهَ
إِلاَّ الله وَحْدَهُ, صَدَقَ وَعْدَهُ, وَنَصَرَ عَبْدَهُ, وَأَعَزَّ جُنْدَهُ
وَهَزَمَ اْلأَحْزَابَ وَحْدَهُ أما بعد ؛
Segala puji bagi Allah yang
menjadikan siang dan malam silih berganti dengan mengkhususkan masa-masa
tertentu sebagai masa yang mengandungi keberkatan yang sangat besar sepertimana
masa-masa yang ada di dalam Ramadhan. Sesungguhnya Ramadhan telah berlalu pergi meninggalkan kita, diharapkan segala tarbiyyah yang diperolehi daripada bulan ini menjadikan kita insan yang lebih bertaqwa bertepatan dengan titah Firman Allah Azza Wa Jalla yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa
sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu
bertaqwa”. (Surah Al-Baqarah: 183)
Kini Syawal menjelma sebagai menifestasi kepada kejayaan kita dalam peperangan menentang hawa nafsu dalam madrasah Ramadhan yang baru sahaja kita lepasi. Setiap dari kita berkewajipan untuk menilai dan memeriksa sekadar mana kejayaan kita dalam memperbaiki diri sepanjang Ramadhan yang lalu dan hanya kerana sebab itulah kita bergembira dan meraikan kejayaan tersebut. Firman Allah Azza Wa Jalla:
“Sesungguhnya berjayalah
orang yang menjadikan dirinya bersih (dengan iman dan amal kebajikan) dan
sesungguhnya rugilah orang yang menjadikan dirinya kotor (dengan sebab syirik
dan kekotoran maksiat)”. (Surah As-Syams: 9-10)
Kami menyeru diri kami dan anda semua untuk bersama-sama mengekalkan segala kebaikan yang telah diajarkan kepada kita di sepanjang Ramadhan supaya kita menyambut Syawal dengan ertikata yang sebenar dan mencapai maksudnya. Syawal adalah perayaan ummah ini. Sepertimana yang disebutkan di dalam hadis Nabi Selawat dan Salam ke atasnya:
“Sesungguhnya setiap kaum memiliki hari raya, dan hari ini (1 Syawal) adalah
hari raya kita.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Diharuskan kita bersukaria, memakai pakaian yang baru dan berhiasan bagi meraikan hari ini namun semua hanya dilaksanakan di dalam ruang lingkup syara’. Sekiranya berlaku pembaziran, berlebih-lebihan, kesombongan dan sebagainya yang menyebabkan kita tercebur dalam perkara yang dikeji oleh syara’ maka maksud kepada ‘hari kejayaan’ tidak akan dapat dicapai dengan jayanya. Akhir kata dari kami warga MTQ-7 mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang memberikan sumbangan berupa tenaga, idea dan wang ringgit atau sebagainya bagi menyokong kami dalam rangka melaksanakan agenda pendidikan Islam di Ma'ahad ini terutama penyumbang-penyumbang berbuka puasa di sepanjang Ramadhan dan Program Tadarus Ramadhan. Segala amal bakti sumbangan anda akan dibalas oleh Allah di dunia dengan penuh keberkatan dan akhirat dengan rahmat dan keampunan.
Ahmad Rais Bin Ismail
Pengetua MTQ-7
01 Syawal 1434 H bersamaan 08
Ogos 2013 M
Langgan:
Catatan (Atom)
Untuk paparan gambar yang jelas, sila klik kanan dan klik Open link in new tab.




