إِنَّ حَمْدًا لله نَحْمَدُهُ وَ نَسْتَعِينُه ونعوذُ
باللهِ مِنْ شُرُورِ مِنْ أَنْفُسِنَا وَ مِنْ سَيئَاتِ أَعْمَالِناَ مَنْ يَهْدِ
الله فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَ مَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ وَ أَشْهَدُ أَنْ
لَا إِلَهَ إِلاَّ الله وَ أَنَّ محمداً رَسُوْلُ الله. اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا
وَالْحَمْدُ للهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلاَ. لاَ اِلَهَ
إِلاَّ الله وَحْدَهُ, صَدَقَ وَعْدَهُ, وَنَصَرَ عَبْدَهُ, وَأَعَزَّ جُنْدَهُ
وَهَزَمَ اْلأَحْزَابَ وَحْدَهُ أما بعد ؛
Segala puji bagi Allah yang
menjadikan siang dan malam silih berganti dengan mengkhususkan masa-masa
tertentu sebagai masa yang mengandungi keberkatan yang sangat besar sepertimana
masa-masa yang ada di dalam Ramadhan. Sesungguhnya Ramadhan telah berlalu pergi meninggalkan kita, diharapkan segala tarbiyyah yang diperolehi daripada bulan ini menjadikan kita insan yang lebih bertaqwa bertepatan dengan titah Firman Allah Azza Wa Jalla yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa
sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu
bertaqwa”. (Surah Al-Baqarah: 183)
Kini Syawal menjelma sebagai menifestasi kepada kejayaan kita dalam peperangan menentang hawa nafsu dalam madrasah Ramadhan yang baru sahaja kita lepasi. Setiap dari kita berkewajipan untuk menilai dan memeriksa sekadar mana kejayaan kita dalam memperbaiki diri sepanjang Ramadhan yang lalu dan hanya kerana sebab itulah kita bergembira dan meraikan kejayaan tersebut. Firman Allah Azza Wa Jalla:
“Sesungguhnya berjayalah
orang yang menjadikan dirinya bersih (dengan iman dan amal kebajikan) dan
sesungguhnya rugilah orang yang menjadikan dirinya kotor (dengan sebab syirik
dan kekotoran maksiat)”. (Surah As-Syams: 9-10)
Kami menyeru diri kami dan anda semua untuk bersama-sama mengekalkan segala kebaikan yang telah diajarkan kepada kita di sepanjang Ramadhan supaya kita menyambut Syawal dengan ertikata yang sebenar dan mencapai maksudnya. Syawal adalah perayaan ummah ini. Sepertimana yang disebutkan di dalam hadis Nabi Selawat dan Salam ke atasnya:
“Sesungguhnya setiap kaum memiliki hari raya, dan hari ini (1 Syawal) adalah
hari raya kita.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Diharuskan kita bersukaria, memakai pakaian yang baru dan berhiasan bagi meraikan hari ini namun semua hanya dilaksanakan di dalam ruang lingkup syara’. Sekiranya berlaku pembaziran, berlebih-lebihan, kesombongan dan sebagainya yang menyebabkan kita tercebur dalam perkara yang dikeji oleh syara’ maka maksud kepada ‘hari kejayaan’ tidak akan dapat dicapai dengan jayanya. Akhir kata dari kami warga MTQ-7 mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang memberikan sumbangan berupa tenaga, idea dan wang ringgit atau sebagainya bagi menyokong kami dalam rangka melaksanakan agenda pendidikan Islam di Ma'ahad ini terutama penyumbang-penyumbang berbuka puasa di sepanjang Ramadhan dan Program Tadarus Ramadhan. Segala amal bakti sumbangan anda akan dibalas oleh Allah di dunia dengan penuh keberkatan dan akhirat dengan rahmat dan keampunan.
Ahmad Rais Bin Ismail
Pengetua MTQ-7
01 Syawal 1434 H bersamaan 08
Ogos 2013 M
Tiada ulasan:
Catat Ulasan