Isnin, 14 Oktober 2013

Perutusan Hari Raya Aidiladha 1434



Segala puji bagi Allah di atas segala nikmat pemberiannya dan yang teragung dari sekalian nikmat tersebut adalah nikmat Iman dan Islam. Kita tidak pernah meminta nikmat ini apakan lagi membayar atau melakukan apa-apa usaha untuk mendapatkannya. Ini adalah sebesar-besar ihsan daripada Allah kepada hamba-hambanya yang terpilih. 

“Adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu ia tetap berada dalam cahaya (hidayah petunjuk) dari Tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan)”. (Surah Az-Zumar: Ayat 22) 

Telah menjadi kebiasaan manusia jika memperolehi sesuatu tanpa usaha dan pengorbanan, perkara tersebut akan disia-siakan. Peristiwa ini dapat kita lihat dalam kisah kehidupan manusia sehari-hari di mana apa-apa perkara yang diberikan dengan percuma, murah, mudah dan apa yang dalam pengertian tersebut maka luputlah dari manusia sifat menghargai dan bersyukur. 

Bagitulah halnya dengan keimanan kita kepada Allah dan Rasul-Nya. Pengorbanan perlu dibuat bagi memastikan komitmen kita sebagai hamba sentiasa konsisten. Hanya dengan pengorbanan akan dapat membuktikan cinta dan sayang kita kepada Agama ini. Walau apapun harganya yang perlu dibayar kita akan sanggup demi memperolehi cinta Allah dan Rahmat-Nya. 


“Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. (Surah Fusshilat: Ayat 30) 

Sesungguhnya Ibadah Qurban adalah sebuah perintah yang padanya mempunyai tujuan yang nyata dan maknawi. Tujuan yang nyata antaranya dengan adanya sembelihan Qurban maka berlakunya hubungan sosial yang baik antara masyarakat Islam. Dimulai dengan solat sunat Aidil Adha. Setelah itu mereka bersama dalam menyediakan haiwan sembelihan dan kemudian melaksanakan penyembelihan dan dibahagi-bahagikan dagingnya kepada seluruh masyarakat setempat. Sebahagian yang lain mengadakan jamuan makan dan sebagainya. Hubungan antara golongan atasan, pertengahan dan bawahan dalam masyarakat dapat dieratkan sehingga timbul kasih sayang di antara mereka. Orang yang kurang berkemampuan dan organisasi kebajikan mendapat faedahnya banyak dari tujuan zahir ini. Bahkan ada yang melaksanakan sembelihan diluar negara iaitu di negara-negara yang memerlukan. Alhamdulilah segala puji bagi Allah kerana telah memberikan taufiq ke atas kita untuk semua kebaikan ini. 

“Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar Ugama Allah maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana Sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin”. (Surah Al-Hajj: Ayat 32) 

Tetapi pengertian Qurban tidak sekadar terhenti di situ semata-mata. Qurban jauh lebih dalam dari apa yang rutin dan adat kita laksanakan pada setiap tahun apabila 10 Zulhijjah menjelma. Kita dapat melihat perkara ini berdasarkan kepada Firman Allah swt: “Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu”. (Surah Al-Hajj: Ayat 37) 

Tujuan pensyariatan Ibadah Qurban ini dari sudut maknanya dapat kita lihat dari kisah sebab pensyariatan Qurban itu sendiri iaitu kisah pengorbanan Nabi Allah Ibrahim a.s. Setelah menjaga anaknya sehingga remaja Allah memerintahkan supaya anaknya disembelih. “Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya Aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”. (Surah As-Shofat: Ayat 102)

Bayangkan pengorbanan apakah yang lebih besar bagi seorang ayah untuk menyembelih anaknya sendiri. Betapa beratnya perintah yang diterima namun kerana itu adalah perintah Allah maka beliau taat kepada-Nya. Inilah intipati kepada Ibadah Qurban itu sendiri. Semua rasul dan nabi melaksanakan pengorbanan. Demi menyebarkan agama Allah mereka dicaci, dimaki dan dikeji. Ada yang dipukul, direjam dan diusir bahkan ada yang dibunuh. Begitulah kekasih-kekasih Allah. Mereka telah mengorbankan harta, masa bahkan nyawa mereka demi Agama ini. 


“Maka patutkah, tiap-tiap kali datang kepada kamu seorang Rasul membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kamu, kamu (dengan) sombong takbur (menolaknya), sehingga sebahagian dari Rasul-rasul itu kamu dustakan, dan sebahagian Yang lain pula kamu membunuhnya”? (Surah Al-Baqarah: Ayat 87)

Tidak kurangnya pengorbanan yang dibuat Baginda Nabi Muhammad Selawat dan Salam ke atasnya. Pelbagai penghinaan dan cacian, kesusahan demi kesusahan dari tahapan Makkah ke perjuangan menegak Islam di Madinah dengan penyebaran risalah dan peperangan tanpa rehat semuanya ini dilaksanakan demi cinta Allah dan pengorbanan untuk umatnya yang dikasihi. Al-Quran turun secara berperingkat-peringkat dalam tahapan-tahapan pengorbanan tersebut. Maka seorang dari guru saya berpesan bahawa untuk memahami al-Quran tanpa melakukan pengorbanan maka itu suatu yang tidak akan berhasil. Seterusnya pengorbanan Rasulullah dan sahabat disambung oleh para salafussoleh dalam mengembangkan agama ini dengan pelbagai cabaran sehingga sampai kepada kita pada hari ini. 


Syeikh as-Syahid Abdullah Azzam Rah berkata: “Para salafussoleh menulis sejarah ini dengan dua warna. Satu berwarna hitam dan satu lagi bewarna merah. Yang hitam itu adalah dakwat para ulama dan yang merah itu adalah darah para syuhada”. 




Bersempena dengan Hari Raya Qurban ini bersama-samalah kita memuhasabah sejauh manakah tahap pengorbanan yang telah kita berikan untuk Agama ini. Kita sering memikirkan “apa yang saya patut dapat” namun seringkali terlupa mengenai “apa yang patut saya berikan”. Kami menyeru kepada diri kami sendiri dan saudara-saudara semua untuk bersama-sama kita berkorban demi Agama yang tercinta ini sehingga kemanisan iman sampai ke dalam hati sanubari kita. Semoga Allah mengaugerahkan hakikat ini kepada kita. Sesiapa yang tidak memberi apa-apa tidak akan menerima apa-apa. 


“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak Agama kami, sesungguhnya kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya”. (Surah Al-Ankabut: Ayat 69) 

Akhir kata dari kami warga MTQ-7 mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada semua ibubapa dan semua yang menyokong kami. Bagi mereka-mereka yang sedang menunaikan ibadah haji, kita berdoa kepada Allah mudah-mudah Allah menerima haji mereka dan memberikan keselamatan ketika pergi dan pulang semula ke kampung halaman masing sebagai seseorang yang seperti “baru dilahirkan”. 

Jutaan terima kasih kepada semua yang memberikan sumbangan berupa tenaga, idea dan wang ringgit atau sebagainya bagi menyokong kami dalam rangka melaksanakan agenda pendidikan Islam di Ma'ahad ini. Segala amal bakti sumbangan anda akan dibalas oleh Allah di dunia dengan penuh keberkatan dan akhirat dengan rahmat dan keampunan. 

Ahmad Rais Bin Ismail 
Pengetua MTQ-7 


10 Zulhijjah 1434 H bersamaan 15 Oktober 2013 M 
Selasa, 01.40 am. Terengganu, Malaysia.
Untuk paparan gambar yang jelas, sila klik kanan dan klik Open link in new tab.